PERJALANAN MAHASISWA

Rabu, 17 November 2010

Hampir kebanyakan mahasiswa yang memasuki alam kampus di universiti akan mengalami perubahan dalam diri, sama ada perubahan besar atau kecil, mahasiswa yang mencorakkannya.Apakah perasaan anda ketika mula-mula menjejakkan diri ke alam kampus? Perasaan terkejut, sedih, gembira, hairan, serba tidak kena pasti akan menyelubungi diri anda. Namun itu hanyalah permulaan kepada perjuangan anda bergelar mahasiswa di universiti. Jika itu adalah permulaan, bagaimana pula di pertengahan dan di penghujung perjuangan seorang mahasiswa untuk menggenggam segulung ijazah?

Apa persiapan anda?
Menurut penulis dan motivator, Ahmad Fadzli Yusof, terdapat beberapa aspek penting untuk menentukan pembangunan dan kejayaan diri seorang mahasiswa dalam menghadapi cabaran hidup di kampus. Lima aspek tersebut adalah:

1. Aspek Fizikal
Kesihatan tubuh badan amat penting untuk mahasiswa memberikan sepenuh tumpuan dalam apa jua yang dilakukan sama ada di bilik kuliah atau di luar bilik kuliah. Mahasiswa perlu mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam sekurang-kurangnya 3 kali seminggu dan seharusnya menjauhi budaya merokok dan pengaruh dadah.

2. Aspek Mental
Sebagai mahasiswa, otak yang sihat amat diperlukan untuk mengingat fakta sepanjang proses pembelajaran. Kesihatan otak dipengaruhi oleh gaya pemakanan, aktiviti harian dan sebagainya.

3. Aspek Spiritual
Pendirian yang tetap perlu ada pada diri seorang mahasiswa bagi menempuh gaya hidup di kampus yang serba mencabar. Jika ada tetap pendirian, maka mahasiswa tidak akan mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang negatif.

4. Aspek Emosi
Setiap insan dibekalkan dengan emosi dalam dirinya dan menjadi tanggungjawab seseorang itu untuk mengawalnya. Emosi yang stabil amat penting supaya dapat memberikan tumpuan dan supaya sistem pembelajaran tidak terganggu. Perasaan rindu pada kampung halaman, putus cinta dan bebanan kerja kursus yang banyak antara faktor utama yang boleh mengganggu kestabilan emosi seseorang mahasiswa. Untuk mengatasi masalah ini, mahasiswa perlu menceburkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan.

5. Faktor Kemahiran
Seseorang mahasiswa perlu tahu dan menguasai kemahiran konseptual, teknik dan kemahiran sosial. Skill konseptual seperti keupayaan untuk berfikir secara analitikal, skil membuat analisis, berfikir secara objektif, kepandaian dalam menyelesaikan masalah, keupayaan untuk berhujah serta boleh melihat sesuatu perkara itu dari sudut keseluruhan bukannya dari satu sudut sahaja. Skil teknikal yang perlu dikuasai adalah kemahiran belajar dan kemahiran teknologi maklumat (ICT). Manakala kemahiran sosial adalah hubungan interpersonal dan intrapersonal, keupayaan menguasai bahasa Inggeris dan kemahiran berucap di khalayak awam.

Mampukah setiap mahasiswa memenuhi semua aspek yang dinyatakan di atas? Kematangan dalam mempertahankan aspek-aspek di atas akan menyumbang kepada kejayaan diri mahasiswa. Persiapan bagaimana untuk mempertahankannya telah dihuraikan oleh penulis dan jurulatih penulisan, Ainon Mohamad :

1. Ilmu dan kemantapan
Kefahaman yang betul terhadap Al-Quran dan As-Sunnah yang menggariskan cara hidup mahasiswa sebagai insan. Ia akan menyumbang kepada kemantapan diri mahasiswa. Mahasiswa disaran agar memahami matlamat pendidikan sebagai alternatif mengawal fitrah selari dengan landasan kehidupan dunia mahupun di akhirat.

2. Gandingan amal dan keikhlasan
Ini merupakan tayangan lahiriah bagi jalinan pemikiran mahasiswa dan kesannya sangat mendalam terhadap kehidupan mahasiswa. Ungkaian kata dari Mohd Ramizu bin Abdullah, dalam kehidupan sebagai seorang mahasiswa, seseorang itu tidak akan dapat menggenggam kejayaan jika ilmu yang dimiliki tidak diamalkan dan apatah lagi memperolehinya dengan cara yang tidak ikhlas atau jalan yang salah.

Oleh itu sebagai mahasiswa, anda mempunyai pilihan untuk mempersiapkan diri dalam meneruskan kehidupan sebagai seorang mahasiswa. Jika ‘A’ yang anda mahu, anda akan dapat ‘A’, begitulah sebaliknya. Mahasiswa kini adalah contoh terbaik kepada seluruh masyarakat